::SEKOLAH KEBANGSAAN PANCHANG BEDENA::BBA 6004:: No.Tel/Fax=03-32241576::EMEL=mk.skpbedena@yahoo.com.my::

SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH RINGKAS KAMPUNG PANCHANG BEDENA

Diriwayatkan juga, pada suatu ketika beberapa orang nelayan sedang berperahu menuju ke laut. Ketika berkayuh itu, tiba-tiba pendayung salah seorang nelayan itu tersangkut pada rantai rangkaian tempayan bedena (harta karun terpendam) berisi emas. Dalam keadaan terkejut bercampur tamak, nelayan itu bergegas menarik rantai bedena itu dan bercakap takbur bahawa dia pasti menjadi kaya raya. Sikap tamak dan takburnya itu tidak diperkenankan oleh Tuhan. Dengan tiba-tiba rantai itu terlepas dari pegangannya dan bedena itu hanyut jauh dan terus lenyap dari pandangannya. Dengan rasa hampa dan kesal, nelayan itu telah memacakkan sebatang buluh sebagai penanda tempat kejadian yang mengharukan itu. Daripada peristiwa itu Kampung Api-Api Muda bertukar nama kepada Kampung Panchang Bedena.


SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH KEBANGSAAN PANCHANG BEDENA

Dalam kesibukan para penduduk kampung meneroka sawah ladang, menebang dan menebas hutan, mereka tidak lupa betapa pentingnnya pelajaran terhadap masa depan anak-anak mereka. Mereka sempat bermuafakat dan menyuarakan hasrat mereka kepada kerajaan meminta disediakan sebuah sekolah di kampung itu. Dengan ikhsan kerajaan negeri Selangor, sebuah sekolah yang sederhana besarnya telah siap dibina pada tahun 1902 untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak tempatan. Seorang guru, Raja Brima telah ditugaskan untuk mengelola dan mengajar di sekolah ini.

Pada 17hb November 1902, sekolah ini dengan rasminya dibuka dengan bilangan murid berdaftar seramai 38 orang. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Pancang Pedena. Menurut keterangan awal di dalam buku perharian sekolah, Guru Besar yang pertama ditugaskan di sini ialah Raja Brima di bawah arahan Encik Ibrahim (nazir) berpangkat Assisting Visiting Teacher, mengikut undang-undang kerajaan negeri Selangor.

Menurut kata Allahyarham Cikgu Ibrahim Bakir, bekas Guru Besar sekolah ini (1928-1937) diceritakan semula oleh Encik Hussin bin Jabar, 54 tahun iaitu bekas murid tua sekolah itu mengatakan sekolah ini dibina atas sebidang tanah tinggi yang kelihatannya seperti permatang (benteng) tidak jauh dari pantai Pancang Pedena. Di sekeliling kawasan itu ditumbuhi dengan pokok api-api iaitu sejenis kayu liat.

Di awal penubuhan, sekolah ini menampung sebilangan murid-murid yang datang dari kampung-kampung sekitar Pancang Pedena termasuk kawasan-kawasan Parit 1,2 dan 3, Sg. Besar, Tebuk Pulai, Sg. Burung dan Sg. Gatal. Bilangan murid-murid bertambah dari sehari ke sehari.

Salah seorang pengasas sekolah ini ialah Datok Penghulu Haji Mohammed yang sentiasa mengambil berat tentang perjalanan sekolah ini.